Didirikan sekitar tahun 1952 dengan beratapkan rumbia serta berdindingkan papan, muridnya seramai 31 orang, manakala gurunya seramai 3 orang sahaja. Muridnya dari kawasan Kampong Chamek dan Kampong GSA Chamek.Tahun 1967, sekolah ini berpindah ke tanah rizab kerajaan yang terletak di atas bukit. Bermula dari 2 bilik darjah bangunan separa batu, pertambahan murid membawa kepada bangunan yang lebih besar dan selesa.
Pada tahun 1973, bangunan baru terdiri daripada 6 bilik darjah, bilik PSS, stor alatan, bilik SPBT, gelanggang serbaguna dan padang telah dirasmikan oleh Menteri Besar ketika itu, YAB Dato’ Hj Hassan Yunus. Bangunan perpustakaan telah dibina pada tahun 1996, manakala pihak PIBG telah membantu kepada terbinanya tempat letak kereta , stor sekolah dan bilik kemahiran hidup. Menjelang sinar 2003, sekolah telah berubah wajah secara total. Dengan pembiayaan hampir RM 3.2 juta, tersergamnya 2 blok bangunan 4 tingkat yang terdiri daripada bilik – bilik darjah, bilik – bilik khas, makmal komputer dan kantin wawasan yang akan menjadikan SK Kampong Chamek mercu tanda dan kebanggaan masyarakat setempat.
|